Mahkamah Sepanyol Tolak Rayuan ‘Waris Sultan Sulu’

KUALA LUMPUR: Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan baru saja menerima pengesahan rasmi bahawa rayuan perlembagaan difailkan penuntut itu ditolak dan pembatalan pelantikan Stampa (yang sudah muktamad dan mengikat) turut disahkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

Justeru, beliau berkata, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol mengesahkan lagi pendirian Malaysia.

Pada 5 November 2021, penuntut yang mendakwa mereka sebagai waris Kesultanan Sulu memfailkan rayuan perlembagaan, memohon keputusan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid (HCJM) yang membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara pada 29 Jun 2021 dibatalkan.

HCJM adalah mahkamah Sepanyol, yang pada awalnya melantik Stampa untuk bertindak sebagai penimbang tara pada 2019, tanpa mendengar terlebih dahulu daripada pihak Malaysia.

Stampa dilantik sebagai penimbang tara selepas firma guaman mewakili penuntut memohon rundingan semula bayaran wang ihsan di bawah Perjanjian 1878 dan memfailkan permohonan di Mahkamah Madrid untuk melantik penimbang tara pada 31 Januari 2018.

Pada Februari 2022, Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada penuntut dan Malaysia secara konsisten membantah prosiding timbang tara berkenaan yang dirancang penuntut.

Mengulas lanjut, Azalina memaklumkan, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan berkenaan kerana penuntut menarik semula tuntutan mereka untuk melantik seorang penimbang tara susulan Keputusan Pembatalan, menyebabkan mereka secara sukarela mengabaikan prosiding yang menjadi asas kepada rayuan perlembagaan undang-undang berkenaan.

Katanya, keputusan berkenaan mengesahkan pendirian undang-undang ditegaskan Malaysia sejak pertikaian itu bermula, yang secara berkesan menamatkan strategi kehakiman oleh penuntut di Sepanyol.

“Akibat pembatalan pelantikan kehakiman Stampa di Sepanyol, beliau tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dan sepatutnya segera menamatkan prosiding timbang tara yang dikatakan.

“Sebaliknya dalam penentangan terbuka terhadap keputusan HCJM, Stampa memilih untuk menyampaikan ‘anugerah akhir’ yang menyalahi undang-undang dan kononnya memberikan penuntut AS$14.92 bilion sebagai pampasan bagi wilayah Sabah.

“Malaysia kemudian menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkan dua anugerah dikatakan Stampa,” katanya.

Azalina memaklumkan, Mahkamah Perancis menangguhkan penguatkuasaan anugerah diberikan Stampa, sementara menunggu keputusan kehakiman daripada tindakan Malaysia untuk mengenepikannya atas dasar bahawa penguatkuasaan itu mungkin mengancam kedaulatan Malaysia ke atas wilayah Sabah.

Selain itu, katanya, mahkamah Luxembourg baru-baru ini mengenepikan lampiran diperoleh penuntut, berdasarkan dua anugerah dikatakan Stampa.

“Mahkamah Sepanyol kini mengesahkan lagi pembatalan pelantikan Stampa yang menyalahi undang-undang sebagai penimbang tara, selepas mendapati beliau tidak pernah mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk bertindak atas kapasiti itu atau mengeluarkan sebarang anugerah, justeru ia adalah terbatal dan tidak sah.

“Keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol baru-baru ini membuktikan dasar kerajaan untuk bersungguh-sungguh mempertahankan Malaysia di setiap mahkamah dan forum, menggunakan semua kuasa, hak dan sumbernya bagi memastikan kepentingan Malaysia, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan dilindungi pada setiap masa,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *