Ongkili Dilantik Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah

Maximus Ongkili (kiri) menerima surat pelantikan daripada Ketua Menteri, Hajiji Noor. (Gambar Jabatan Ketua Menteri Sabah)

KOTA KINABALU : Bekas menteri tenaga, teknologi hijau dan air, Maximus Ongkili dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) berkuat kuasa hari ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyifatkan pelantikannya sebagai penghormatan buat parti itu.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada ECoS dan industri tenaga Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Menteri persekutuan selama empat penggal itu berkata, Sabah mempunyai kekuatan dan potensi sangat besar dalam sumber tenaga, khasnya sumber boleh diperbaharui seperti solar, hidro, angin dan biojisim.

“Kami akan memastikan sebarang isu berkaitan ECoS dilaksanakan demi kebaikan Sabah dan rakyatnya.”

Suruhanjaya itu mula mengawal selia sektor bekalan gas di Sabah bulan lalu, selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan dua rang undang-undang (RUU) berkaitan hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963, iaitu Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023.

RUU itu berkaitan pemindahan kuasa pengawalseliaan bekalan gas kepada kerajaan negeri dan pengambilalihan bekalan elektrik daripada kerajaan persekutuan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *