25 Murid, Dua Guru Terlibat Kejadian Jeti Roboh Di Semporna

Foto Media Sosial Facebook

SEMPORNA, 30 Jan : Seramai 25 murid dan dua guru terlibat dalam kejadian jeti roboh di Pulau Pababag di sini pagi tadi, dengan dua murid mengalami kecederaan ringan di bibir dan tangan, akibat terkena serpihan kayu serta simen jeti berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan berkata kejadian itu berlaku pada 6.45 pagi tadi, ketika murid tersebut sedang turun dari bot mereka untuk ke jeti tersebut.

“Ketika kejadian dua orang guru turut terjun membantu menyelamat. Guru dan murid yang terlibat dalam kejadian itu juga dibenarkan pulang dan tiada kecederaan berat,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata jeti itu merupakan sebuah jeti kampung yang menjadi jeti utama untuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag.

Pada hari ini, tular sebuah video berdurasi 1 minit 30 saat menunjukkan beberapa pelajar sekolah diselamatkan selepas sebuah jeti di Kampung Pababag roboh.

Di Kota Kinabalu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sulabayan Abdul Manan Indanan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya berharap, peruntukan segera daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dapat disalurkan, bagi pembinaan semula jeti roboh di Pulau Pababag.

“Kebetulan pagi ini jumpa menteri berkenaan (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), saya telah menunjukkan video jeti roboh dan murid terlibat, kita harap pembinaan segara dapat dilaksanakan, kita juga akan berjumpa ketua kampung dan pihak sekolah untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan hari ini memberitahu, kementerian itu melalui Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera, kepada semua mangsa terlibat.

“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan, dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.

“KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat, untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada, bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan, selain KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru, ke sekolah. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *