Warisan Minta Maximus Perbetul Andaian Isu Kemaruk Kuasa – Azis Jamman

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) meminta presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili supaya memperbetulkan andaiannya kononnya Warisan “kemaruk kuasa”.

Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata sekiranya Warisan kemaruk atau gila kuasa dan membelakangkan prinsip, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal “mungkin masih lagi seorang Ketua Menteri, hari ini”

Katanya, jika pada ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Perdana Menteri, Warisan boleh menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu dan seterusnya menyokong Datuk Seri Ismail Sabri bagi memastikan Shafie kekal berkuasa.

“Namun Warisan memilih untuk mempertahankan prinsip dengan menongkah arus walaupun terpaksa kehilangan kerajaan negeri.

“Warisan bukan parti katak yang lompat mengikut siapa yang berkuasa di Putrajaya.

“Bila Maximus sebut ‘power hungry’ (gila kuasa), bukankah cubaan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Warisan itu adalah ‘power hungry’ sehingga sanggup merasuah dan menawarkan jawatan demi memastikan gabungan hari ini berkuasa. Itu sebenarnya adalah tindakan power hungry,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Azis berkata semasa pilihan raya, PBS melawan
Parti Solidariti Tanah Airku (Star), namun kemudiannya kerana ‘power hungry’, PBS sanggup tidur sebantal bersama STAR dan PAS untuk membentuk kerajaan bersama.

Mohd Azis berkata, parti Warisan hanya mempersoalkan kesahihan dan keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dengan mengambil kira perundangan negeri Sabah.

“Warisan tidak berniat mengambil alih kuasa pemerintahan negeri Sabah.

“Kami hanya meminta mereka supaya membetulkan masalah perundangan yang dengan jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Maximus selaku orang yang faham undang-undang, sepatutnya jangan membutakan mata sebab dia sendiri bersumpah untuk memelihara, mempertahankan dan melindungi Perlembagaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata perlanggaran peruntukan Perlembagaan Sabah akan menjadi kes yang menjadi ikutan (precedent) kepada situasi serupa pada masa akan datang.

Mohd Azis berkata Perlembagaan Sabah menyatakan Ketua Menteri hendaklah dilantik daripada ketua parti yang menang semasa pilihanraya.

“Maximus selaku orang yang berpelajaran sanggup kelihatan bodoh dengan membutakan mata apabila Hajiji yang jelas telah melanggar perlembagaan Sabah dibiarkan melanggar perlembagaan yang mereka sendiri telah bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan.

“Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan pada 2022 dan pilihanraya negeri diadakan pada 2020. Perlembagaan Sabah dengan jelas menyebut bahawa Ketua Menteri hendaklah di lantik daripada kalangan ketua parti yang bertanding semasa pilihanraya.

“Hajiji bukan ketua parti walaupun dia sebut dia ketua parti GRS. GRS adalah gabungan parti-parti.

“Buktinya, Hajiji sendiri terpaksa memgambil alih parti baharu untuk menjadi ketua. Jika GRS adalah sebuah parti, mengapa Hajiji perlu menubuhkan parti baharu?.

“Jangan butakan mata hanya kerana ingin kekal berkuasa. Janganlah matlamat menghalalkan cara walaupun terpaksa mencabuli Perlembagaan Sabah,” tegasnya.

Mohd Azis berkata, untuk memperbetulkan keadaan,
Hajiji dan rakan-rakan lain perlu melompat dan menyertai Parti Star dan menjadikan Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan sebagai Ketua Menteri.

Ini kerana katanya, Jeffrey adalah ketua parti yang bertanding semasa pilihanraya.

Keadaan juga boleh diperbetulkan dengan meminda Perlembagaan Sabah dengan membatalkan dan mengubah perkataan “ketua parti”.

“Itulah yang Warisan perjuangkan dan minta diperbetulkan dari awal-awal lagi.

“Adakah kerana ‘power hungry’, maka pemimpin GRS sanggup melacuri dan mencabuli perlembagaan Sabah yang sepatutnya dilindungi dan dipertahankan.

“Bukankah dengan menyokong Muhyiddin dan menukar sokongan selang sehari kemudian kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga adalah satu tindakan ‘power hungry’ sehingga sanggup menjilat ludah sendiri demi kekal berkuasa,” katanya.

Mengenai tindakan UMNO dan
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) menarik sokongan kepada Hajiji, Mohd Azis mengingatkan Maximus bahawa Warisan tidak pernah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“Kami gembira dan selesa memainkan peranan sebagai pembangkang di Sabah namun berlaku kerenggangan
hubungan antara GRS dan UMNO.

“Pergeseran dan keretakan hubungan antara GRS dan UMNO atau Hajiji dan Datuk Seri Bung Moktar Radin tiada kena mengena dengan Warisan.

“Penarikan sokongan UMNO dan PKDM terhadap Hajiji adalah masalah rumahtangga gabungan awal PN dan Barisan Nasional (BN) di Sabah, maka apa pun persetujuan dan perjanjian mereka dahulu Warisan tidak pernah tahu…itu masalah “perkahwinan” mereka. Kenapa salahkan Warisan?,” soalnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *