Rogol Kanak-Kanak Tujuh Tahun, Warga Filipina Dipenjara 28 Tahun & 22 Sebatan

Tertuduh Mohamad Tahir Abraham, 22, dihukum penjara 28 tahun dan 18 sebatan kerana kesalahan menculik, rogol dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun tahun lalu oleh Mahkamah Sesyen.

TAWAU: “Perbuatan kamu (tertuduh) tidak berhati perut dan amat kejam malah lebih teruk daripada binatang,” kata Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, di sini hari ini.

Amir Shah Amir Hassan yang bertindak selaku hakim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun dan 22 sebatan terhadap seorang lelaki warga Filipina, Mohamad Tahir Abraham, 22.

Tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja sebagai nelayan itu mengaku bersalah atas kesalahan menculik, merogol dan mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun (ketika kejadian) di sebuah kampung di Semporna, pada 7 April tahun lalu.

Amir Shah dalam keputusannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara 20 tahun dan 18 sebatan atas kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(e), manakala empat tahun penjara dan dua sebatan atas kesalahan masing-masing mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 362 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun (ketika kejadian) di kawasan semak di sebuah kampung dalam daerah Semporna kira-kira jam 9 malam pada 7 April tahun lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 325, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa dengan cara menumbuk pada bahagian kepala dan dada, menampar muka, mencekik leher serta menendang belakang mangsa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan sebat.

Tertuduh juga turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan atas kesalahan memperdaya atau mendorong mangsa meninggalkan kediamannya tanpa kerelaan pada tarikh dan masa yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan sebat.

Amir Shah ketika menjatuhkan hukuman berkata, kesalahan dan perbuatan tertuduh yang disifatkannya sebagai amat kejam malah lebih teruk daripada binatang.

Jelasnya, tertuduh dalam kes ini selayaknya mendapat prinsip pembalasan di sisi undang-undang iaitu dikurung terlalu lama di penjara dan seksaan sebatan walaupun mahkamah sedar hukuman sebegitu tidak dapat memulihkan mangsa yang hanya berumur tujuh tahun untuk selama-lamanya.

Malah katanya, rayuan tertuduh yang sekadar hanya meminta hukuman diringankan tanpa menunjukkan rasa insaf, menyesal atau simpati amat menjelikkan dan mahkamah wajar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran dan peringatan kepada tertuduh sendiri dan orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.

Terdahulu, pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana dalam hujahnya memohon hukuman berat mengambil kira faktor trauma dialami mangsa selain faktor kepentingan awam.

Katanya, menurut doktor yang merawat mangsa, mangsa mengalami trauma yang begitu tragis dengan kecederaan retak pada kepala selain kesan koyakan pada kemaluan mangsa sama seperti wanita yang baru melahirkan anak.

“Walaupun kes ini dilaporkan pada April tahun lalu namun pertuduhan hanya dijalankan hari ini berikutan mangsa enggan dirakam percakapan kerana mengalami trauma malah ketika kawad cam dibuat mangsa meraung dan menangis apabila melihat wajah tertuduh,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan hukuman ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam itu berjalan secara berasingan dan berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini, selain tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *