SANDAKAN: Wanita warga Indonesia ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh teman lelaki anaknya di sebuah rumah di Apartmen Taman Sentosa, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 25 tahun.
Suspek yang juga kekasih anaknya dikatakan datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
“Suspek dipercayai mengelar leher wanita Indonesia berusia 59 tahun itu dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Anak perempuan mangsa pula cedera ringan di bahagian tangannya,” katanya dihubungi, hari ini.
Abdul Fuad berkata, suspek yang juga warga tempatan berusia 31 tahun menyerah diri di Balai Polis Sandakan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost