Polis Sabah Tahan Duda Bersama 10.4KG Syabu Bernilai RM360,000

Jauteh (kanan) menunjukkan bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di kawasan Taman Sri Rugading, Tuaran.

KOTA KINABALU : Seorang duda ditahan bersama 10 bungkus dadah jenis Methamphetamine atau syabu seberat 10.4 kilogram bernilai kira-kira RM360,000, Ahad lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek berusia 40 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di kawasan perumahan Taman Sri Rugading, Tuaran, jam 10 malam.

“Suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Prado ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Pemeriksaan menemui satu kotak berisi 10 bungkus plastik teh Cina berisi syabu dalam kenderaan itu,” katanya pada sidang media di IPK Sabah hari ini.

Hadir sama Ketua JSJN Sabah Asisten Komisioner Lam Thiam Huat.

Jauteh berkata, siasatan mendapati, syabu terbabit diseludup dari Kuala Lumpur dengan menggunakan khidmat kurier untuk pasaran Sabah.

“Tangkapan dan rampasan ini mungkin ada kaitan dengan sindiket yang ditumpaskan sebelum ini.

“Syabu ini cukup untuk menampung kegunaan hampir 50,000 penagih,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan dua individu sedang dikesan kerana turut terbabit dalam kegiatan itu.

“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *