RM5 Juta Baik Pulih Segera Jalan Kota Kinabalu-Sandakan – Arthur

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup (kanan) bertanya mengenai kemajuan pembaikan jalan kepada Penolong Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah (Pan Borneo) Vitus Dee Aegidius ketika mengadakan lawatan di Jalan Beluran-Telupid hari ini.

SANDAKAN : Sebanyak RM5 juta telah diluluskan Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan kerja pembaikan segera di lima lokasi di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dalam Daerah Telupid, kata Timbalan Menterinya Datuk Arthur Kurup.

Beliau berkata pembaikan jalan rosak itu melibatkan Seksyen 173-174, 174-175, 175-170, 176-177 dan 143-144 Jalan Persekutuan tersebut, meliputi kerja-kerja penurapan yang dijangka siap menjelang akhir bulan depan.

Katanya kerja-kerja pembaikan itu hanya penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi kesulitan pengguna jalan berkenaan yang menimbulkan rungutan ramai sehingga mendapat jolokan “jalan di bulan”  kerana keadaan permukaan jalan yang berlubang-lubang.

“Selain itu pakej kerja 28, 29 dan 30 di bawah Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan Batu 32, Sandakan hingga Sungai Baoto turut melibatkan penyelesaian jangka masa pendek dengan kerja pembaikan jalan segera menggunakan peruntukan dianggarkan RM5.5 juta.

Kerja pembaikan telah bermula pada awal bulan ini dan lokasi yang kritikal akan dibaiki terlebih dahulu dan djangka siap dalam tempoh dua bulan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Jalan Telupid-Sandakan dekat sini hari ini.

Telupid terletak 203 kilometer dari arah timur Kota Kinabalu dan dikenali sebagai kawasan bersejarah antaranya tragedi Kawad Maut Sandakan ketika Perang Dunia Kedua tahun 1940-an.

Arthur berkata kaedah penyelesaian jangka masa sederhana turut membincangkan pelan pengurusan trafik di tapak projek secara berkala untuk memastikan kontraktor sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan saya semasa pembinaan.

“Had laju ketika pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan dikaji semula, iaitu mengurangkan had laju 90km sejam kepada 40km sejam untuk mengurangkan lagi risiko kemalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo secara keseluruhannya merupakan penyelesaian jangka masa panjang dilaksanakan kerajaan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur selamat dan selesa di Sabah.

“Inisiatif lain turut diambil kerajaan termasuk memastikan Jalan Persekutuan berada dalam keadaan baik dan diselenggara mengikut tatacara dan piawaian ditetapkan.

Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di Sabah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *