Konvensyen BN Sabah: Soal Kerjasama Dengan GRS Dijangka ‘Disebut-Sebut’

Penganalisis menjangkakan konvensyen kali ini membincangkan kekuatan BN termasuk soal kerjasama dengan parti atau gabungan lain.

KOTA KINABALU: Soal kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka menjadi isu utama yang akan diketengahkan pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah, di sini, esok.

Konvensyen besar-besaran itu akan dirasmikan pengerusi BN Zahid Hamidi selain kehadiran pemimpin-pemimpin “besar” lain dari BN, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang pastinya akan disambut dengan laungan “Bossku”.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dengan PRU15 yang dilihat semakin hampir, perbincangan berhubung kerjasama antara BN dengan GRS pastinya menjadi isu hangat.

“Isu-isu seperti ekonomi dan sosial juga akan diketengahkan. Isu ini dijangka menfokuskan masalah di negeri ini seperti infrastruktur dan sebagainya.

“Bagaimanapun, saya jangkakan isu kestabilan politik negeri iaitu berkaitan kerjasama politik BN dan GRS akan turut kedengaran,” katanya kepada FMT.

Tony Paridi Bagang.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) senada dengan Tony apabila mengatakan konvensyen kali ini dijangka membincangkan kekuatan BN termasuk soal kerjasama dengan parti atau gabungan lain.

“Sudah pastinya (perbincangan mengenai) kesiapsiagaan Umno dan BN di Sabah bagi menghadapi PRU15. Pastinya juga mereka (BN) akan membincangkan kekuatan gabungan itu, sama ada bergerak sendiri atau lebih baik bekerjasama dengan GRS,” katanya.

BN sebelum ini adalah sebahagian daripada GRS yang telah memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 2020 sekali gus menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Warisan Plus.

Bagaimanapun, kerjasama antara BN dan GRS dilihat sedikit ‘kecoh’ terutama dengan kenyataan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin sebelum ini yang mengatakan BN mahu mempertahankan semua kerusi dimenangi mereka pada PRU14.

Kerusi-kerusi berkenaan termasuk yang dimenangi BN tetapi wakil rakyatnya melompat ke Bersatu selepas BN gagal mengekalkan kuasanya pada PRU14.

Lee Kuok Tiung.

Pada Mac lalu, GRS secara rasminya didaftarkan sebagai sebuah entiti politik yang sah namun tanpa kelibat BN dan kerajaan yang ada sekarang juga bertukar nama daripada kerajaan GRS kepada kerajaan GRS-BN.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin BN dan GRS iaitu Bung dan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor sering menegaskan hubungan antara dua gabungan berkenaan kekal baik, dengan usaha serta perbincangan untuk mengelak pertembungan sesama mereka juga sedang giat dilakukan.

Keadaan itu jelas berbeza dengan apa yang berlaku di Semenanjung apabila BN dan Bersatu saling bercakaran dan hampir pasti tidak akan bekerjasama pada PRU nanti walaupun ketika ini mereka adalah kerajaan bersama.

Dalam pada itu, Bung berkata, kira-kira 5,000 ahli BN dari seluruh Sabah akan hadir pada konvensyen berkenaan, yang disifatkan berkemungkinan menjadi pertemuan terakhir ahli parti sebelum menghadapi PRU15 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah. Katanya, disebabkan itu ahli BN khususnya yang menyertai konvensyen itu perlu memanfaatkan pertemuan berkenaan bagi membincangkan isu relevan untuk memperkasakan perjuangan parti.

Pelbagai program bakal diadakan sempena konvensyen berkenaan, antaranya forum “Politik dan Ekonomi Sabah” dengan menampilkan ahli panel seperti Salleh Said Keruak, Ahmad Shabery Cheek, Monih Epin, dan Ramzah Dambul, selain “Bicara Seorang Negarawan” dengan Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat BN akan menjadi tetamu jemputan untuk berbicara. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *