DUN Sabah Bersidang Empat Hari Bermula Isnin – Speaker

KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan bersidang selama empat hari bermula Isnin ini, kata Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M Yahya.

Beliau berkata sebanyak empat rang undang-undang dibawa pada persidangan kedua penggal ketiga DUN Sabah Ke-16 itu, namun beliau tidak menjelaskan lanjut mengenai rang undang-undang yang akan dibawa pada persidangan kali ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka dan ujian calitan masih dikuat kuasa ketika persidangan kali ini,” katanya pada sidang media di Bangunan DUN Sabah di Likas di sini hari ini.

Kadzim berkata pada persidangan kali ini DUN Sabah membenarkan kehadiran pemerhati, justeru mereka yang berminat untuk menjadi pemerhati dikehendaki membuat permohonan kepada pihak urus setia persidangan.

“Sekolah, badan bukan kerajaan boleh buat permohonan begitu juga Yang Berhormat  mahu bawa pemerhati mereka, tetapi jumlah dan masa itu terhad kerana kita masih tertakluk kepada SOP  yang telah ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan itu, beliau mengesahkan ADUN Kukusan Rina Jainal, yang keluar Parti Warisan pada 5 Jun lepas, akan duduk di Blok Kerajaan kerana telah mengistiharkan dirinya ADUN mesra kerajaan.

Beliau berkata bagi ADUN Segama Datuk Mohamaddin Ketapi juga Ahli Parlimen Lahad Datu yang keluar Bersatu pada 28 Jun lepas kekal di Blok Kerajaan kerana masih ADUN mesra kerajaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *