Harapan Rakyat Terima Permintaan Pengundi Di Luar Daerah

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) semakin mendapat perhatian orang ramai termasuk pengundi dari luar daerah.

Timbalan Presidennya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N70 Kukusan Rina Jainal berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan parti yang berpangkalan di Tawau itu.

“Selepas lebih sebulan menyertai Harapan Rakyat, saya akui ada menerima pelawaan daripada orang dari luar daerah Tawau dan Kalabakan.

“Mereka menyampaikan masalah setempat yang dihadapi dan meminta kami turun ke tempat mereka untuk melihat dan menilai sendiri masalah tersebut,” katanya, ketika ditemui selepas merasmikan Program Korban Perdana Kukusan 2022 anjuran Pejabat ADUN N70 Kukusan dan Harapan Rakyat, di sini, hari ini.

Tambah Rina, pihaknya melihat perkara itu sebagai satu perkembangan positif menandakan Harapan Rakyat semakin dikenali dan menjadi alternatif penduduk untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Malah saya sendiri pernah didatangi beberapa pihak dari luar daerah Tawau, mempelawa kami untuk memperkenalkan Harapan Rakyat di tempat mereka.

“Bagaimanapun, saya dan Presiden Parti (Tan Sri Liew Yun Fah) sependapat untuk memberi tumpuan sepenuhnya pembangunan di Kukusan, Tawau dan Kalabakan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjuangan ke Pantai Timur Sabah,” katanya.

Rina yakin, selepas Harapan Rakyat semakin mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat, sudah tentu pihaknya akan melebarkan sayap ke daerah lain.

“Apa yang penting kami terus bekerja untuk rakyat berbanding melayan propaganda pihak luar yang sengaja mengganggu kerja kami…. mungkin disebabkan mereka mula tercabar dengan parti ‘kecil’ ini.

“Rakyat hari ini lebih bijak dalam menilai keikhlasan wakil rakyat yang benar-benar bekerja untuk mereka atau sebaliknya,” katanya.

Tambah Rina, Harapan Rakyat kini berada di landasan betul dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, selaras dengan ikrar yang dilafazkannya di Dewan Undangan Negeri Sabah ketika menerima watikah perlantikan sebagai ADUN, hampir dua tahun lalu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *