Kes Covid-19 Masih Meningkat, Kata KP Kesihatan

Sempena sambutan Aidiladha Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat bahawa kes harian Covid-19 semakin meningkat dan individu tidak bergejala mungkin menjadi pembawa virus itu.

KUALA LUMPUR: Kes harian baharu Covid-19 meningkat sebanyak 27.9% dalam tempoh 3 hingga 9 Julai lepas berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kes baharu dilaporkan dalam tempoh itu adalah 21,355 berbanding 16,694 kes pada 26 Jun hingga 2 Julai.

“Bilangan kes sembuh bagi 3 hingga 9 Julai turut meningkat sebanyak 14.6% iaitu daripada 14,293 kes kepada 16,379 kes,” menurutnya dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini.

Hisham berkata, ini menjadikan kumulatif kes baharu kini sebanyak 4,592,710 manakala kes sembuh pula ialah 4,521,579.

Beliau berkata, kes kematian juga menunjukkan peningkatan sebanyak 46.2% iaitu daripada 26 kepada 38 kes pada minggu lepas, menjadikan jumlah kematian kini adalah 35,809.

Menurutnya, purata kes aktif setiap hari bagi minggu lepas ialah 32,145 iaitu peningkatan sebanyak 11% berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk turut meningkat sebanyak 15 peratus pada minggu lepas dengan pesakit kategori 1 dan 2 meningkat 14% manakala pesakit kategori 3, 4 dan 5 sebanyak 17 peratus.

“Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Maya pada minggu lepas, ia meningkat 23.4% berbanding pada akhir minggu sebelumnya (dari 43,203 kes kepada 53,306 kes),” katanya.

Hisham juga berkata, purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8% pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya.

Katanya sehingga kini, terdapat 13 kluster Covid-19 yang masih aktif dan dipantau di negara ini.

Sempena sambutan Aidiladha, Hisham mengingatkan seluruh rakyat bahawa kes harian Covid-19 kini semakin meningkat dan individu yang tidak bergejala berkemungkinan menjadi pembawa virus itu.

“Meskipun telah berada dalam fasa peralihan ke endemik, perlu diingatkan bahawa Covid-19 masih lagi menjadi musuh utama dan usaha memerangi penyakit ini masih berterusan.

“Justeru, masyarakat digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk beraya,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak bagi melindungi golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *