5 Bangunan Berisiko Di Hospital Queen Elizabeth Dikosongkan

Hospital Queen Elizabeth

KOTA KINABALU: Lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, yang terletak berhampiran kawasan tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) malam semalam, sudah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, lima bangunan itu terletak di Kompleks C hospital terbabit iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab.

Beliau berkata, runtuhan seluas 20 meter lebar itu juga menyebabkan kerosakan struktur bangunan Sleep Lab dan stor Hospital Support Services (HSS).

“Pihak HQE juga telah mengambil tindakan menutup perimeter kawasan runtuhan dan tapak runtuhan ditutup menggunakan kanvas. Beberapa langkah akan diambil termasuklah baik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini.

“Saya sendiri akan ke Kota Kinabalu, Isnin ini bagi melihat sendiri keadaan di sana dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya, hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan KKM di Kampung Kopungit, di sini, yang turut menyebabkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam tertimbus.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini, berkata semua langkah keselamatan sudah diambil bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di kawasan berkenaan.

“Bangunan berisko telah dikosongkan, manakala kami juga telah meminta pihak pengurusan utiliti mengalihkan tiang dan wayar di kawasan itu, pada masa ini keadaan terkawal dan operasi HQE berjalan seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian banjir di negeri ini, Shahelmey berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memastikan semua parit dan sungai di negeri ini berfungsi dengan baik bagi mengelak kejadian banjir tidak menjadi lebih buruk.

“Kita mengalami kesan perubahan cuaca dengan intensiti hujan yang tinggi menyebabkan banjir kilat di banyak kawasan. Parit dan sungai penting untuk diselenggara agar air daripada hujan lebat itu dapat disalurkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat diminta supaya bersabar menghadapi bencana banjir yang berlaku dan kerajaan negeri kini sedang berusaha sedaya upaya bagi membantu mereka yang terbabit.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *