Pelajar Sabah Terpilih Membentang Projek Kesihatan Mental Di Persidangan Kementerian Pendidikan

KENINGAU : Nur Afiqa Amani, pelajar jurusan seni kulinari dan pembimbing rakan sebaya Kolej Vokasional Keningau, telah terpilih untuk membentang projek kesihatan mental yang diketuainya di institusi itu di Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan yang bertempat di The Everly, Putrajaya, dari 18 sehingga 19 Oktober 2023.

Persidangan tersebut adalah anjuran Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia. Dia diiringi oleh Shamsiah Jaafar, ketua unit psikologi dan kaunseling kolej tersebut.

Nur Afiqa telah menerima pelawaan khas untuk membentang projek kesihatan mental yang dipimpinnya di persidangan tersebut atas pengiktirafan dan pencapaian yang dia telah perolehi sebelum ini.

Dia pernah ditaja penuh oleh SEAMEO Innotech yang berpusat di Filipina sebagai pembicara jemputan di Youth Summit: Transforming Education in Southeast Asia di Manila pada bulan Jun tahun ini.

Projek kesihatan mental yang dinamakan “It’s Okay” tersebut terdiri daripada beberapa aktiviti yang berasaskan konsep kemahiran sosioemosi untuk membantu para pelajar serta guru mencapai ketenangan diri secara muhasabah diri dan interaksi yang sihat.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui projek ini adalah bengkel sosioemosi, kembara alam, terapi seni, pesta tarian serta pertukaran mesej positif.

Malah, Nur Afiqa telah memimpin pasukan pembimbing rakan sebaya di kolej itu untuk melancarkan minggu kesihatan mental buat julung kalinya pada awal tahun 2023.

Selain membuat pembentangan di sesi selari persidangan tersebut, dia juga berpeluang menyertai sesi pameran dimana gerai pameran dia telah menerima kunjungan dari Menteri Pendidikan iaitu YB Fadhlina Sidek yang juga telah merasmi majlis penutupan persidangan itu.

Nur Afiqa berasa teruja kerana berjaya duduk semeja dengan Menteri Pendidikan semasa majlis penutupan tersebut dan dia terharu kerana projek kesihatan mental yang diterajuinya telah berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat kementerian.

Pengiktirafan ini mampu membantu dia untuk terus berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan dengan isu kesihatan emosi dan minda.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, meluahkan rasa bangga atas pencapaian Nur Afiqa tersebut yang boleh menjadi galakan bagi pelajar-pelajar yang lain agar lebih proaktif dalam mengenalpasti isu-isu yang wajar diberi perhatian dan mengambil inisiatif membantu mencari jalan penyelesaian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *