Kerajaan Setuju Cuti Tanpa Rekod Deepavali Dibawa Ke Selasa 14 November

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 November (Isnin) akan dibawa ke 14 November (Selasa) bagi pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkata perkara itu tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

“Peruntukan cuti tanpa rekod adalah terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.

“Namun begitu, kerajaan pada 3 November telah bersetuju untuk memberi pengecualian bagi tahun 2023,” katanya dalam surat edaran yang disiarkan di portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Menurut Zulkapli, perkara itu dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata mulai 2018, kerajaan telah memperuntuk cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali bagi memberi lebih ruang kepada mereka untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga.

Peraturan ini, katanya, telah dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR 5.3.6 dan cuti tanpa rekod itu terpakai kepada semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak mengambil kira Deepavali bukan hari kelepasan am di negeri berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *