Wanita Didakwa Sebabkan Kematian Bayinya Yang Baru Lahir, Teman Lelaki Diusir Ke Negara Asal

Mazidah didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan atas kesalahan sengaja menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya di tandas sebuah hospital.

TAWAU: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya di tandas sebuah hospital dekat sini, pada 14 Oktober lalu.

Mazidah Minggo, 24, didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja meninggalkan bayi yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan di penjara Tawau.

Tertuduh bersama teman lelakinya ditahan reman sejak 15 Oktober lalu susulan penemuan mayat bayi di dalam pam tandas sebuah hospital, di sini, dengan keadaan mulut disumbat tisu.

Mayat bayi lelaki cukup sifat itu ditemui pekerja pembersihan yang bertugas di hospital berkenaan kira-kira 7.10 pagi ketika melakukan pembersihan di tandas terbabit.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, ketika dihubungi mengesahkan teman lelaki tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal selepas hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *