Beaufort Daerah Pertama Capai Imuniti kelompok Di Sabah

KOTA KINABALU: Daerah Beaufort menjadi daerah pertama di Sabah mencapai imuniti kelompok Covid-19 selepas 89 peratus daripada penduduk dewasanya melengkapkan vaksin setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ia diikuti daerah Kuala Penyu yang mencatat 76.6 peratus penduduk dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

“Setakat 3 September, 42.4 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi vaksin lengkap dan 61.1 peratus memperolehi satu dos.

“Daerah Beaufort adalah daerah yang paling tinggi jumlah penduduk sudah melengkapkan pengambilan vaksin iaitu 89.0 peratus, diikuti daerah Kuala Penyu dengan 76.6 peratus,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sabah sebelum ini mensasarkan untuk mencapai 60 peratus penduduk dewasanya lengkap vaksin pada bulan ini, manakala sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus penduduk lengkap vaksin disasar dicapai sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, Masidi berkata pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah hari ini menyaksikan sebanyak 22,132 suntikan dos pertama vaksin diberikan kepada penerima vaksin di seluruh negeri, manakala sebanyak 22,770 suntikan dos kedua.

Katanya, pada hari ini juga sebanyak 7,484 orang menerima vaksin dos tunggal CanSino menjadikan jumlah kumulatif penerima vaksin berkenaan setakat ini seramai 36,410 orang.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *