SEPANG: Seramai 15 kakitangan MYAirline membuat laporan polis terhadap syarikat penerbangan bermasalah itu berhubung gaji yang tidak dibayar.
Abdul Salam Nek Kamal, seorang pegawai khidmat pelanggan di MYAirline, berkata mereka mengalami masalah kewangan yang ketara selepas syarikat terbabit gagal membayar gaji sejak dua bulan lalu.
“Kami juga tidak pasti dengan status pekerjaan kerana belum ditamatkan perkhidmatan tetapi (kekal) tidak dibayar gaji. Situasi ini memberi tekanan terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil.
“Apa yang menyedihkan ada segelintir kakitangan dihalau keluar rumah kerana tidak dapat membayar sewa,” katanya kepada media di perkarangan Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.
Abdul Salam berkata dia sebelum ini memegang jawatan sama di syarikat lain namun membuat keputusan untuk bekerja di MYAirline kerana ditawarkan gaji lebih tinggi.
“Apabila kami bertanya mengenai gaji, mereka (pengurusan) sering memberi respons, ‘tunggu sekejap’.
“Tetapi berapa lama? Setahun? Dua tahun? Mereka perlu memberi kepastian mengenai tempoh masa itu,” katanya.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, yang menemani kakitangan terbabit, mengkritik MYAirline kerana sikap “tidak profesional” dan menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap syarikat itu.
Beliau juga berkata MTUC mahu kerajaan memastikan gaji semua kakitangan itu dibayar.
Pada 12 Okt, syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, MYAirline secara tiba-tiba menggantung operasi, kerana “cabaran kewangan yang teruk” kurang daripada 11 bulan selepas ia beroperasi.
Syarikat penerbangan itu kemudiannya berkata penggantungan operasinya disebabkan kekurangan pelan sokongan untuk menyelesaikan masalah kewangannya yang goyah, dan kegagalannya untuk memaklumkan penumpang mengenai penggantungan itu berpunca daripada “kelalaian”. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost