Lelaki Curi Kereta, Bawa Lari Enam Murid Sekolah Di Ranau

Kenderaan polis berjaya memintas kereta yang dilarikan suspek.

RANAU : Enam murid sekolah yang berada di dalam sebuah kenderaan berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki dilarikan seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Pinosuk, Kundasang di sini, pada petang Selasa.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, kesemua kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan oleh orang awam dan pihak polis yang memintas kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan bahawa sebuah kenderaan jenis Proton Persona telah dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai runcit.

“Lelaki tersebut dipercayai cuba mencuri kereta tersebut dan dalam masa sama terdapat enam murid dari sebuah sekolah berada di dalamnya.

“Suspek berjaya ditahan dan kejadian itu telah dirakam serta videonya tular di media sosial. Pihak polis juga turut menerima maklumat mengenai video tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh salurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum itu, tular dua video masing-masing berdurasi 58 saat dan satu minit sembilan saat memaparkan kenderaan polis memintas kereta yang dilarikan manakala video kedua menunjukkan lelaki itu berjaya ditahan polis dengan bantuan orang awam.

Dalam video itu turut kedengaran tangisan kanak-kanak dipercayai dalam keadaan ketakutan akibat kejadian itu. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *