Kilang Kaca Baharu Kibing bukti kejayaan pelan Sabah Maju Jaya

Hajiji menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian pembukaan kilang berkenaan.

KOTA KINABALU : Pembukaan kilang Sabah Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernilai RM3 bilion menjadi bukti kejayaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang digariskan kerajaan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata usaha niaga pelaburan berimpak tinggi itu adalah contoh perkara yang boleh direalisasikan apabila kerajaan negeri, sektor swasta dan komuniti bersatu di bawah visi bersama.

“Inilah hasil usaha bersama kita dalam bentuk pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan untuk manfaat penduduk dan negeri Sabah,” katanya pada majlis pembukaan besar-besaran kilang itu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini, pada Selasa.

Beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan pelaburan di Sabah bergerak selancar yang mungkin.

“Kita telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan petugas khas pelaburan yang komited untuk memudahkan dan memperkemaskan proses pelaburan, supaya pelaburan di Sabah bergerak lancar.

“Pasukan petugas ini diwujudkan untuk menyediakan sokongan dan bimbingan komprehensif, serta persekitaran yang kondusif untuk pelabur berkembang maju dan berjaya,” katanya.

Mengenai usaha niaga Kibing Group, Hajiji berkata pasukan petugas khas itu telah mempercepat permulaan pengoperasian kilang itu kurang 24 bulan selepas pemeteraian perjanjian awal pada Januari 2022.

Beliau berkata pencapaian ini mengetengahkan usaha dedikasi pasukan petugas, bekerja tanpa mengenal penat dalam sinergi dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk mentransformasikan pelaburan ini menjadi satu kenyataan di Sabah.

“Saya mahu menekankan komitmen kerajaan negeri dalam memudahkan pelaburan ke Sabah. Kami bertekad dengan misi kami untuk mewujudkan persekitaran yang menarik lebih ramai pelabur, seperti usaha niaga Kibing di Sabah.

“Pelaburan ini bukan hanya mengenai nombor pada lejar kewangan. Pelaburan ini adalah mengenai mewujudkan pekerjaan, memupuk inovasi dan meningkatkan kehidupan rakyat kita,” katanya.

Hajiji turut mengimbas kembali lawatannya ke kilang kaca pertama Kibing di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan dua tahun lepas susulan jemputan daripada Pengerusi Kumpulan Kibing, Yu Qi Bing dan Presiden, Datuk Lim Swee Ee.

Pengerusi Yu memaklumkan kepadanya bahawa kumpulan itu berminat untuk menubuhkan kilang pembuatan kaca solar inovatif yang canggih di Sabah.

“Hari ini, projek itu telah menjadi kenyataan. Terima kasih kepada rakan pelaburan China yang dihormati, Kibing Group, atas keyakinan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam membawa fasa pertama projek yang membabitkan kos RM3 bilion ini menjadi kenyataan dengan penubuhan kilang pembuatan kaca solar yang canggih ini di KKIP,” katanya.

Beliau berkata kepentingan usaha ini adalah terlalu besar.

“Berdasarkan kapasiti pengeluaran tahunan yang mengagumkan sebanyak 440,000 tan kaca solar, Sabah kini telah menjadi antara peserta terkemuka dalam industri pembuatan kaca solar Malaysia, dan kami bersedia untuk membuat sumbangan besar kepada sektor tenaga boleh baharu.

“Pencapaian ini bukan sahaja menjanjikan pertumbuhan ekonomi malah juga menggariskan komitmen kami terhadap kemampanan dan teknologi hijau. Usaha itu turut mewujudkan peluang pekerjaan, dengan 1,100 atau lebih 80 peratus daripada 1,300 pekerjanya, adalah rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji berkata ini bukan sahaja mengukuhkan tenaga kerja tempatan malah juga meningkatkan mata pencarian rakyat, memberikan mereka pekerjaan yang stabil.

Beliau optimis Kibing Group akan terus berkembang maju dan melaksanakan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang Sabah.

“Kerajaan Sabah terus komited untuk mengalu-alukan kehadiran pelabur seperti Kibing Group dari China, mengiktiraf peranan tidak ternilai yang mereka laksana dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri akan terus menjadi destinasi mesra pelabur dan komited mempercepat pertumbuhan dan pembangunan ekonomi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *