Kolej Vokasional Keningau Juara Keseluruhan Sabah Hospitality Fiesta 2023 Kategori Perantis

KENINGAU : Pasukan Kolej Vokasional Keningau yang terdiri daripada 14 pelajar telah menyertai enam kategori yang dipertandingkan di Sabah Hospitality Fiesta yang ke-23 yang bertempat di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, dari 4 sehingga 5 November 2023.

Pasukan tersebut berjaya mengutip satu emas, empat perak dan tiga gangsa dengan kutipan markah berjumlah 70 seterusnya muncul sebagai juara keseluruhan bagi kategori perantis (apprentice) daripada sembilan institut yang bertanding dalam kategori tersebut.

Terdapat dua kategori utama iaitu kategori perantis untuk institut-institut pengajian yang menawarkan program hospitaliti dan kategori profesional untuk industri perhotelan dan perlancongan.

Pertandingan ini adalah anjuran bersama Persatuan Hotel Malaysia atau lebih dikenali sebagai Malaysian Association of Hotels (MAH) dan Asian Tourism International (ATI) College.

Sebuah pingat emas telah dimenangi oleh dua orang pelajar bakeri dan pastri, Aimee Farah Adhirah dan Ashraf Daniel Anuar dalam kategori menghias kek kahwin dan satu pingat perak berjaya dimenangi dalam kategori ini oleh dua orang pelajar, Clementina Cynthia Moduin dan Angela Rusli, yang juga dari jurusan yang sama.

Dua orang pelajar dari jurusan seni kulinari, Amyra Natasyah Ismail dan Nur Afiqa Muhd Safwan Sajani, telah menyumbang dua pingat perak secara berasingan dalam kategori penyediaan meja makan.

Pingat perak yang keempat berjaya diraih oleh Danial Jauhari Bin Sidar dari jurusan seni kulinari dalam kategori masakan panas kotak hitam manakala seorang lagi peserta dari kolej itu, Faiz Asmaan Hamizan Rujili, mendapat pingat gangsa dalam kategori tersebut.

Pingat gangsa yang kedua diperolehi melalui kategori ukiran buah dan sayur yang diwakili oleh Nur Haziqah Mairah Binti Ah Yuk @ Awang dan pelajar yang terakhir yang telah berjaya menyumbang pingat gangsa adalah Anievizetty Binius yang bertanding dalam kategori masakan panas peringkat profesional.

Kolej Vokasional Keningau yang berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan bagi kategori perantis menerima piala juara dan piala pusingan. Terdapat 20 kategori profesional dan 6 kategori perantis telah dipertandingkan.

Bagi kategori profesional, sebanyak 24 hotel dan pusat perlancongan telah menyertai kategori tersebut dimana Sutera Harbour Resort telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, menyatakan rasa bangga dan gembra dengan pencapaian ini kerana ianya menunjukkan bertapa pentingnya bagi para pelajar di kolej itu untuk memandang serius setiap jenis kemahiran yang dipelajari dan sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik.

Pasukan kolej ini dilatih, diurus dan diiringi oleh guru guru dalam bidang hospitaliti Kolej Vokasional Keningau iaitu Saumon Maliki, Saleha Suhaidin, Syuaib Samijan, Erma Gagah, Kimberly V Usit, Nor Ruzaimah Zahari, Siti Yusrina Adnan dan Aleena Ameera Seleh.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *