PRK Kimanis: 6,000 Jentera PH, Warisan & Upko Bersiapsiaga Bantu Calon Warisan

Aiman Athirah (duduk empat dari kanan) dan Jannie (duduk tiga dari kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Wanita Pakatan Harapan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kira-kira 6,000 jentera wanita Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Upko bersiapsiaga dalam usaha membantu calon Warisan yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari depan.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Aiman Athirah Al Jundi berkata jumlah itu membabitkan jentera wanita daripada enam parti seperti Amanah, PKR, Bersatu, Warisan, DAP dan UPKO.

Aiman Athirah berkata bagaimanapun pihaknya menganggarkan 200 hingga 300 ahli wanita akan turun untuk membantu berkempen dalam satu-satu masa sepanjang dua minggu PRK itu diadakan.

“Mereka akan bergerak mengikut parti masing-masing tetapi menggunakan logo Warisan ke kawasan yang akan diagihkan kelak bagi melaksanakan aktiviti kempen.

“Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu calon yang bakal bertanding nanti agar memperoleh kemenangan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Wanita Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Kepayan, Jannie Lasimbang.

Mesyuarat bersama jentera wanita PH berkenaan dilaksanakan bagi membincangkan persediaan wanita PH, Warisan dan UPKO dalam menghadapi PRK Kimanis pada Januari 2020.

Dalam pada sama, mesyuarat terbabit juga memutuskan melantik Jannie Lasimbang sebagai Pengarah Jentera Wanita PH pada PRK akan datang.

Ditanya mengenai peratusan pengundi wanita di Kimanis, Aiman Athirah menyatakan 50 peratus pengundi adalah terdiri golongan wanita dan pihaknya yakin ia mampu membantu meraih kemenangan.

Sementara itu, Jannie berkata pihaknya akan sedaya upaya memenangi hati wanita Kadazan Dusun Murut (KDM) di kawasan terbabit.

“Kita akan fokus untuk turun padang termasuklah membuat tinjauan mesra di lokasi tapak tamu kerana  bukan sahaja terdapat ramai peniaga dan pengunjung KDM tetapi sedikit bumiputera Islam serta Cina.

“Hal ini turut dilihat secara tidak langsung boleh membantu sewaktu proses berkempen,” katanya.

SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *