Operasi Bersepadu PTI Peringkat IPD Kota Kinabalu di empat lokasi dalam tempoh tujuh jam
KOTA KINABALU: Operasi Bersepadu Pendatang Tanpa Izin (PTI) Peringkat IPD Kota Kinabalu dijalankan di empat lokasi tumpuan di daerah ini dalam tempoh tujuh jam.
Utusan Borneo difahamkan, operasi ini dijalankan di kawasan bandaraya yang menjadi tempat tumpuan PTI dan ‘mengundang’ kegiatan jenayah di sekitar Kota Kinabalu.
Selain polis, turut terlibat, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ikatan RELA Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata operasi gabungan tujuh agensi dan jabatan itu dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“15 individu ditahan untuk pemeriksaan dokumen di dalam operasi ini yang berlangsung dari jam 2 petang hingga 10 malam pada 26 Disember lepas,” katanya, di sini, semalam.
Habibi berkata kesemua mereka yang ditahan untuk pemeriksaan itu berumur dalam lingkungan 15 hingga 42 tahun melibatkan 10 lelaki dewasa dan lima wanita dewasa.
Bagaimanapun, 12 tahanan dibebaskan selepas proses saringan oleh JPM dan JIM melalui pemeriksaan kad pengenalan dan pasport yang dibawa ahli keluarga dan majikan mereka.
“Tiga orang lagi ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah,” katanya.
Menurutnya, operasi serupa akan diteruskan dari masa ke semasa dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai individu atau aktiviti mencurigakan di kawasan mereka.
Sumber: Utusan Borneo