Lapan Kes Influenza A H1N1 Dikesan Di Sabah – Frankie Poon

KOTA KINABALU, 29 Dis: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan sebanyak lapan Influenza A H1N1 dikesan dalam kalangan kanak-kanak yang dilaporkan sejak 15 Disember hingga semalam, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Frankie Poon berkata kanak-kanak terbabit berumur dalam lingkungan satu hingga 12 tahun dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“JKNS telah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah jangkitan daripada merebak. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza dan cara mengelak jangkitan juga diberikan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu adalah susulan isu wabak Influenza A H1N1 dalam kalangan kanak-kanak didakwa dijangkiti di sebuah pusat beli- belah di Kota Kinabalu yang tular di media sosial terutama aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Influenza A H1N1 adalah jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gelaja utama seperti demam selesama, sakit tekak, batuk selain kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Demam selesama sangat mudah berjangkit kepada orang lain melalui udara dengan titisan cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

Ia juga boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung serta individu menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.

Frankie Poon menasihatkan orang awam mengalami gejala terbabit supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk.

Orang awam khususnya golongan berisiko tinggi juga dinasihatkan supaya mendapatkan vaksin influenza bermusim ditawarkan fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *