Anak Mahu Jual Ibu RM3 Kerana ‘Menyusahkan Hidupnya’

Friska Meila Anastasya yang ingin menjual ibunya.

Jakarta: “Dijual ibu berpenyakit. Harga 10, 000 rupiah (RM3) saja. Yang minat silahkan datang ke Blitar. Uruskan orang tua tidak berguna ini. Dijual kerana menyusahkan. Barang yang sudah dibeli tidak boleh dikembalikan.”

Itu kata-kata pada iklan yang kini tular di media sosial Indonesia dipercayai dimuat naik di Facebook oleh seorang remaja wanita yang mahu menjual ibunya kerana menyusahkan hidupnya.

Menurut laporan media Indonesia, melalui status berkenan, pemilik akaun Facebook menggunakan nama Friska Meila Anastasya menyatakan dia membenci ibunya kerana sakit dan menyebabkan dia terpaksa membelanjakan wang yang banyak.

Friska dipercayai berasal dari Blitar, Jawa Timur dan status itu dikecam netizen. Akaun Facebook Friska didapati sudah dipadamkan, namun imej tangkap layar status terbabit kini tular di media sosial lain.

Menurut laporan Tribunnews, Friska berang kerana mempunyai ibu yang sakit dan dalam status berasingan, dia turut melontarkan kata-kata kasar terhadap ibunya, malah menyamakan wanita itu dengan haiwan.

Friska yang mengakui membenci ibu bapanya kerana membuatkan hidupnya tidak bahagia serta menghabiskan wangnya berkata, dia iri hati dengan mereka yang lahir dalam keluarga kaya kerana dimanjakan ibu bapa dengan kemewahan.

“Berbeza dengan ibu bapa saya, mereka memberi alasan sakit dan pening kepala. Kalau berpenyakit, lebih baik mati kerana menyusahkan anak,” tulisnya.

Tambahnya lagi, jiran cuba campur tangan terhadap hal keluarganya, namun tiada yang mahu membantu menguruskan ibu bapanya.

Sementara itu, akhbar Surya Malang melaporkan, polis Blitar kini menyiasat akaun terbabit selepas menerima aduan daripada orang ramai. – Agensi

25