ADUN Labuk Anggap Rakyat Pembohong – Bangkuai

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Datuk Joniston Bangkuai

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) terkedu dengan kenyataan mantan Adunnya, Abdul Rahman Kongkawang yang mendakwa parti lamanya telah membuat pembohongan tentang pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Membalas kenyataan Adun Labuk itu, Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata kenyataan Abdul Rahman baru-baru ini seolah-olah memanggil rakyat yang membuat aduan kepada PBS mengenai isu PTI sebagai ‘pembohong’.

“Selama ini, PBS bertindak berdasarkan aduan orang ramai. Kami telah mengumpul laporan mengenai pendatang tanpa izin dan kegiatan yang boleh menimbulkan persoalan berkaitan dengan isu ini, terutama sekali yang sering diketengahkan oleh rakyat Sabah.

“Jadi, adakah anda (Rahman) mengatakan bahawa mereka (rakyat) itu adalah pembohong? Adakah anda menuduh mereka menyebarkan khabar angin? Adakah salah bagi kita di PBS untuk menjadi suara rakyat?” soal Bangkuai.

Abdul Rahman yang telah meninggalkan PBS untuk bersama-sama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa bahawa parti lamanya itu membuat pembohongan mengenai isu PTI, khususnya dengan tuduhan bahawa Warisan terlibat dalam beberapa kejadian kebakaran setinggan kerana kononnya sebagai satu alasan untuk memberi dokumen pengenalan kepada warganegara asing.

“Amat mudah beliau kini tiba-tiba menafikan kecurigaan beliau terhadap aktiviti yang didorong oleh Warisan. Malah ketika beliau masih berada di dalam PBS, beliau sering menyuarakan pendapat terhadap operasi dokumentasi pendatang tanpa izin di Sabah.

“Kenapa tiba-tiba bertukar haluan? Pemimpin yang benar akan berdiri teguh dengan pendirianmya. Jangan mudah berubah hati hanya kerana beliau telah melompat ke parti lain.

“Saya ingin mengingatkan Abdul Rahman supaya tidak menjadi boneka kepada Warisan demi mendapatkan keuntungan jangka pendek,” tegas beliau.

Perlu diingat bahawa berdasarkan penemuan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai PTI di Sabah, majoriti penghuni koloni setinggan di Sabah adalah pendatang tanpa izin.

Bangkuai berkata isu-isu berkaitan pendatang haram sememangnya menjadi keutamaan parti sejak penubuhannya 34 tahun yang lalu.

“Kami tidak nafikan beliau (Abdul Rahman) menganggotai biro khas PBS bagi menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah, tetapi kami merasakan beliau tidak mempunyai kredibiliti untuk bersuara mengenai isu itu kerana beliau tidak pernah hadir satupun mesyuarat biro itu.

“Semasa dalam PBS, beliau sangat lantang bersuara mengenai isu itu, dan kebiasaanya beliau akan mengingatkan anggota PBS di bahagiannya supaya konsisten dalam perjuangan menentang pendatang tanpa izin.

“Malangnya, hanya dalam beberapa minggu sahaja beliau telah berpusing 180 darjah dan menentang prinsipnya sendiri. Mungkin budaya lompat katak mengubah mereka,” kata Bangkuai.

Mengulas lebih lanjut, Bangkuai menjelaskan PBS tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penyiasatan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendatang tanpa izin.

Oleh itu, katanya PBS telah menyeru pihak berkuasa berkaitan seperti polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)  untuk menjalankan tugas itu.

“Fokus utama kami adalah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat. JPN tentu saja menafikan tuntutan kami, tetapi itu difahami.

“Kami tidak berpuas hati dengan penjelasan mereka, seperti yang dinyatakan oleh Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Amat sukar bagi PBS mempercayai JPN.”

Beliau berkata mantan Pasukan Petugas Khas Persekutuan Datuk Abu Talib Harun juga bersetuju bahawa sejumlah besar pendatang tanpa izin di Sabah berada pada angka yang membimbangkan pada tahun 1999.

“PBS percaya terdapat satu gerakan sistematik dalam pemberian dokumen pengenalan diri kepada pendatang tanpa izin dan akhirnya mendapat kewarganegaraan sekarang,” dakwa Bangkuai.

Dalam pada itu, beliau berkata kenyataan Abdul Rahman turut menunjukkan ketidakikhlasannya semasa menjadi ahli PBS.

“Kenyataannya telah membuat orang marah, terutamanya para pengundi beliau. Beliau tidak ikhlas dalam perjuangan beliau selama ini, dan ia adalah penyesalan terbesar PBS,” katanya.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *