12 Rakyat Malaysia Dicekup Masuk Sebatik Secara Haram Untuk Sertai Fun Run

NUNUKAN: Seramai 12 rakyat Malaysia ditahan Kantor Imigrasi Kelas II TPI Nunukan selepas dipercayai memasuki Pulau Sebatik, Kalimantan Utara, secara tidak sah, Sabtu lalu.

Semua individu berkenaan terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita dewasa yang dilaporkan berasal dari Tawau, Sabah.

Ketua Seksi Intelijen dan Penindakan Keimigrasian (Inteldakim), Fredy, berkata mereka ditahan di sebuah hotel di Pulau Sebatik hasil pemeriksaan dijalankan pihaknya.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka memasuki wilayah Indonesia tidak melalui Tempat Pemeriksaan Imigrasi (TPI), sebaliknya menggunakan laluan tidak rasmi dengan menaiki bot laju,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai datang ke Sebatik bagi menyertai acara larian santai ‘Fun Run’ yang berlangsung pada Ahad.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak memiliki sebarang dokumen rasmi atau surat jemputan daripada pihak penganjur.

Terdahulu, penahanan itu dibuat ketika pegawai Imigrasi Nunukan menjalankan program sosialisasi Sistem Aplikasi Pelaporan Orang Asing (APOA) di beberapa hotel dan penginapan di kawasan berkenaan.

“Semakan buku daftar tetamu mendapati maklumat yang direkodkan tidak lengkap tanpa butiran kewarganegaraan, sekali gus menimbulkan keraguan,” katanya.

Susulan itu, pemeriksaan lanjut ke atas bilik penginapan membawa kepada penemuan 10 warga Malaysia, manakala dua lagi ditahan di lokasi acara larian.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat Imigrasi Nunukan untuk siasatan lanjut dan kini ditempatkan di ruang detensi.

Hasil pemeriksaan mendapati hanya lima individu memiliki pasport, manakala tujuh lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya mengaku sebagai warga Malaysia.

Pihak Imigrasi Nunukan turut menghubungi Konsulat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat, bagi tujuan pengesahan identiti dan kewarganegaraan.

“Mereka mendakwa memilih laluan tidak sah bagi menjimatkan masa dan tenaga perjalanan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Undang-Undang Nomor 6 Tahun 2011 mengenai Keimigrasian dan semua individu terbabit dijangka dikenakan tindakan deportasi.

“Proses deportasi akan dilaksanakan selepas dokumen perjalanan sementara dikeluarkan pihak konsulat,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *