
KOTA KINABALU: Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden bangunan runtuh di Filipina pada Ahad dikenal pasti sebagai ahli perniagaan berasal dari Pitas.
Mangsa dikenali sebagai Ng Lai Thau @ Dusun, yang juga dikatakan aktif dalam politik tempatan di daerah berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook “Pitas Hari Ini”, dengan pengesahan kematian mangsa dibuat oleh anaknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi di bandar Angeles, Pampanga, sebuah bangunan sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan dilaporkan runtuh.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa dipercayai terkorban selepas terperangkap di sebuah hotel apartmen berhampiran yang turut terjejas akibat runtuhan tersebut.
Dalam insiden itu, seramai 26 individu berjaya diselamatkan, dengan 24 mangsa dikeluarkan dari struktur bangunan runtuh, manakala dua lagi diselamatkan dari hotel apartmen berdekatan.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan menzahirkan simpati kepada semua pihak yang terkesan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau keadaan warganegara yang selamat serta mengesahkan status dan keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat.
“Dalam masa sama, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan dan menghubungi waris kepada kedua-dua individu berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah