Kastam Sabah Rampas 10.79 Kilogram Syabu Di Tawau

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman, menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas baru-baru ini.

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas dadah disyaki syabu seberat 10.79 kilogram (kg) di sebuah premis penghantaran barang di Jalan Bakau, di sini pada 9 Mac lepas.

Rampasan itu dilakukan oleh Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau dalam satu serbuan di premis berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang di daerah ini.

Katanya, hasil serbuan ke atas premis berkenaan menemukan satu kotak berwarna coklat dengan perihal barang yang ditulis sebagai peralatan memancing.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan pula menemukan sejumlah 10 bungkusan plastik bertulis ‘168 Freeso-Dried Durian’ mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua dadah berkenaan adalah seberat 10.79 kg dan dianggarkan bernilai RM356,070.00,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Tawau, di sini, hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket ini adalah membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke Tawau.

Katanya, sindiket juga hanya meletakkan alamat penerima sahaja untuk tujuan ‘self collect’ bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Justeru, susulan rampasan itu, pengurus syarikat penghantaran barang terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes.

“Semua dadah berkenaan dirampas untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Nasir berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu berjaya membanteras daripada diedarkan kepada lebih 50,000 orang penagih.

“Saya menggesa orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, dadah dan lain-lain.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *