Sekampung Bergelap Gara-Gara Seorang Penduduk Curi Kabel

Pencawang milik SESB yang diceroboh oleh suspek disyaki cuba mencuri kabel.

KOTA KINABALU : Seorang penduduk Kampung Gentisan, Manggatal, di sini, menjadi punca seluruh kampung itu bergelap berikutan perbuatannya mencuri kabel pencawang hingga terkena renjatan elektrik, awal pagi semalam.

Perbuatannya itu turut menyebabkan dia dalam keadaan kritikal kerana melecur terkena renjatan ketika cuba mencuri kabel di pencawang milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Kejadian itu disedari penduduk kampung selepas terdengar dentuman kuat kira-kira jam 3 pagi sebelum bekalan elektrik terpadam sepenuhnya.

Selepas itu, penduduk kampung terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari tepi jalan dan menemui seorang lelaki dalam keadaan lemah sambil meraung kesakitan dengan keadaan kulit muka ada kesan terbakar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, suspek berusia 29 tahun itu disyaki terkena renjatan elektrik ketika cubaan mencuri kabel di pencawang SESB yang berada di kawasan berhampiran.

“Salah seorang kawannya turut cedera namun sempat melarikan diri sebelum polis tiba,” katanya.

Kalsom berkata, lelaki yang tinggal di Kampung Gentisan itu kemudian dibawa ke Hospital Likas untuk rawatan lanjut oleh ahli keluarganya.

“Keadaan lelaki terbabit kritikal kerana melecur tahap tiga di bahagian muka dan leher manakala tahap dua di bahagian bahu dan lengan kanan.

“Selain itu terdapat luka di kening kiri dan matanya bengkak serta tidak dapat dibuka,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat harta benda awam.

Sementara itu, Kalsom menasihatkan orang awam supaya tidak terbabit dengan perbuatan mencuri kabel elektrik.

“Selain berdepan bahaya renjatan elektrik, kegiatan ini adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *