KOTA KINABALU: Umno Sabah mengenal pasti muka baharu untuk diketengahkan calon bertanding 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan parti itu pada PRN17 Sabah akan datang.
Ketuanya, Bung Moktar Radin, berkata pihaknya belum bersedia mendedahkan nama calon-calon muka baharu turut terdiri anak muda buat masa ini kerana tapisan masih dijalankan.
“Kita juga meminta mereka (calon muka baharu berpotensi) untuk selalu turun padang berjumpa rakyat di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi tahu siapa calon kita.
“Kita akan mempertimbang setiap calon muka baharu ini sebaiknya kerana hakikatnya politik memerlukan proses panjang. Kita mesti menampilkan calon muka baharu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti. Kriteria yang saya tetapkan iaitu disukai rakyat, boleh menang, dan berintegriti.
“Selain itu, tidak melompat parti dan tidak terpengaruh dengan materialistik. Kita akan ‘ikat’ mereka kuat-kuat supaya tidak melompat parti. Kita akan pilih yang jiwanya teguh untuk perjuangan Umno,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama media dan anak-anak istimewa.
Baru-baru ini, Bung Moktar dilaporkan sebagai berkata Umno Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 23 kawasan DUN untuk dimenangi pada PRN Sabah akan datang dan sehubungan itu, Umno Sabah giat melakukan siri jelajah ke kawasan disasarkan.
Bung Moktar yang juga Adun Lamag berkata, beliau bersedia melepaskan kawasan itu kepada calon muka baharu sekiranya ada individu boleh memperkukuh dan memperkuat Umno termasuk di kawasan berkenaan.
“Tetapi, sebagai ketua panglima, saya rasa tidak boleh panglima ‘gostan’,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata Umno Sabah akan mempertimbang kerjasama dengan mana-mana parti, yang penting mesti ikhlas, berintegriti, mampu memberi kekuatan kepada parti dan tidak mengingkari perjanjian yang telah dilaksanakan.
Dalam PRN16 pada September 2020, Umno/Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu bertanding di 31 daripada 73 kerusi DUN. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost