Sabah Catat 1,915 Kes Kecurian Kabel, Kota Belud Daerah Tertinggi

242 kes di Kota Belud itu amat membimbangkan, kerana dua daerah lain yang terdekat iaitu Kota Marudu dan Tuaran mencatat jumlah kes yang rendah.

KOTA KINABALU : Kota Belud merupakan daerah yang merekod kecurian kabel  tertinggi di Sabah dengan 242 kes daripada 1,915 kes keseluruhan yang direkodkan di negeri itu, pada tahun lepas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan berkata 242 kes di Kota Belud itu amat membimbangkan, kerana dua daerah lain yang terdekat iaitu Kota Marudu dan Tuaran mencatat jumlah kes yang rendah iaitu masing-masing 76 dan 61 kes.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata kecurian kabel atau vandalisme alat komunikasi yang lain amat dikesali, kerana memberikan kesukaran kepada penduduk di negeri ini untuk berkomunikasi dengan baik terutama di kawasan luar bandar serta pedalaman yang jauh.

“Setiap kali kabel dicuri, maka talian komunikasi kita akan mengalami gangguan, memberi impak negatif kepada semua penduduk Kota Belud dalam aspek komunikasi. Rupa-rupanya kabel dipotong, dicuri dan dijual.

“Sekiranya kejadian vandalisme terutama kecurian atau pemotongan kabel seperti ini berterusan, sampai bilapun apa-apa pembangunan infrastruktur komunikasi tidak akan pernah selesai,” katanya menerusi kenyataan sempena Program Kesedaran Hentikan Vandalisme Komunikasi DUN Pintasan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia negeri Sabah Ratnawaty Talib berharap, masyarakat kawasan Pintasan mengambil tanggungjawab memanfaatkan dan menjaga dengan baik semua kemudahan telekomunikasi di kawasan mereka.

“Banyak sekali manfaat pembangunan dan penyediaan akses telekomunikasi kepada masyarakat. Bayangkan jika ada infrastruktur telekomunikasi yang rosak dan menyebabkan kehilangan akses internet, akan ramai golongan terjejas tidak kira usia dan pekerjaan mereka,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *