KOTA KINABALU : Selepas hampir sebulan tular video jalan raya berlubang seperti kolam di Jalan Sukau-Kinabatangan, muncul satu lagi hantaran memaparkan keadaan jalan berkolam di laluan sama.
Jalan berlubang tersebut dikatakan terletak berhampiran simpang masuk ke Sukau iaitu kira-kira tiga setengah kilometer dari lokasi Sinar Harian laporkan sebelum ini.
Keadaan jalan itu dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya, Mohd Fauzie Jasneh, 31, menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Katanya, perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Tawau biasanya mengambil masa antara tujuh hingga ke lapan jam tetapi dengan keadaan jalan rosak perjalanan boleh mencecah sehingga ke 10 jam.
“Saya baru saja lalu jalan itu kira-kira jam 11.30 pagi tadi untuk pulang ke kampung isteri di Tawau.
“Tetapi perjalanan agak mencabar dan lebih panjang kerana jalan berlubang teruk terutama di kawasan berhampiran bulatan masuk ke simpang Sukau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, keadaan jalan yang sedemikian akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang melalui laluan tersebut.
“Jalan ini sudah lama rosak sejak bertahun lamanya dan setiap minggu saya berulang alik menggunakan laluan ini.
“Keadaan jalan rosak ini amat membahayakan nyawa pengguna terutama pada waktu malam,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Fauzie berharap jalan tersebut dapat diambil perhatian untuk dibaiki oleh agensi berkaitan.
Pada Januari lalu melaporkan keadaan jalan di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan, yang berlubang seperti kolam disifatkan sebagai memalukan Sabah di mata pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Jalan tersebut merupakan laluan utama untuk pelancong ke Lapangan Terbang Sandakan selain sebagai jalan penghubung pengguna jalan raya berulang alik dari Kota Kinabalu ke pantai timur.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost