Lantik Syarikat Isteri, Bekas Ketua Cawangan Jabatan Didenda RM15,000

Tertuduh, Mohaidy Tabin, 45, (kiri) didenda RM15,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah Tawau, atas keslaahan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan, lima tahun lalu.

TAWAU : Bekas Ketua Cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia didenda RM15,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini kerana menyalahguna kedudukan untuk mendapatkan suapan, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohaidy Tabin, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Pada 24 Februari 2022, Mohaidy mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 26 Akta SPRM 2009, yang mana didakwa menyalahgunakan kedudukannya ketika berkhidmat selaku Ketua Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau, pada 18 Oktober 2018.

Dia didakwa mengambil tindakan memilih Faizah Noor Fauzi iaitu isterinya sendiri sebagai Penyebut Harga yang berjaya dalam Sebut Harga Kenderaan Lupus jenis Toyota Fortuner 2.7V milik agensi terbabit.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Rekhraj Singh,

manakala tertuduh diwakili peguam Safrin Salleh dan Korventt Wheezar E Jimiji.

Terdahulu, Safrin dalam rayuan mitigasinya berkata, anak guamnya mengakui kesalahan dan menyesal atas tindakannya selain memohon maaf kepada mahkamah serta mana-mana pihak lain yang mungkin terjejas akibat perbuatannya itu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *