KOTA KINABALU : Seorang wanita yang bekerja di sebuah bank berdepan detik cemas apabila dipukul dengan kayu sebelum disamun lelaki warga asing, dalam kejadian di Jalan Gaya, Kota Kinabalu yang tular di media sosial.
Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu itu menyebabkan mangsa berusia 50 tahun mengalami kecederaan di kepala akibat hentakan yang dialaminya.
Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Kalsom Idris, berkata kejadian berlaku ketika wanita terbabit sedang berjalan kaki ke tempat kerjanya.
Bagaimanapun, katanya, mangsa tiba-tiba didatangi seorang lelaki dan dipukul menggunakan kayu dari arah belakang.
“Mangsa cuba mempertahankan diri, namun suspek memukulnya beberapa kali.
“Suspek kemudian menarik beg tangan wanita itu sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media semalam, menurut Berita Harian.
Terdahulu, tular klip video di aplikasi WhatsApp sejak pagi semalam yang memaparkan wanita itu dipukul sebelum beg duitnya dilarikan seorang lelaki.
Selain itu, Kalsom berkata, mangsa yang cedera di kepala dan badan mengalami kerugian kira-kira RM5,000 termasuk kehilangan telefon pintar dan wang tunai.
Katanya, kejadian sempat dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun berjaya ditahan 2.30 pagi semalam.
“Suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya.
“Suspek positif dadah jenis metaphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost