KOTA KINABALU: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam proses melaksanakan pelan tindakan pembangunan dan menaik taraf Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) membabitkan kos RM45 juta.
Pelaksanaan pelan mengandungi beberapa inisiatif yang dijangka siap tahun ini dimaklumkan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAHB, Mohamed Rastam Shahrom ketika kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew di sini, semalam.
“MAHB komited melaksanakan pelan induk untuk KKIA yang direka bentuk bagi memastikan pembesaran berterusan lapangan terbang seiring dengan unjuran pertumbuhan penumpang dalam jangka masa panjang.
“Ketika ini MAHB sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk memaksimumkan kecekapan operasi KKIA yang dilaksanakan secara berfasa bermula Disember 2023 dan siap dalam tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu termasuk penambahbaikan suasana lapangan terbang dengan memoden dan menghidupkan semula titik sentuh utama penumpang di KKIA seperti meningkatkan kualiti udara dan piawaian suhu lapangan terbang.
Turut diberi perhatian, katanya, pengukuhan sistem siar raya bagi meningkatkan komunikasi, menambah baik kemudahan surau dan tandas, memaksimumkan susun atur tempat duduk, meningkatkan penawaran makanan dan minuman serta menambah baik perkhidmatan troli dan ‘buggy’ untuk keselesaan penumpang.
“Kita sudah menyiapkan fasa satu penambahbaikan tempat duduk penumpang dan menambah 250 troli pada akhir tahun lalu. Dalam tempoh sembilan bulan akan datang kita akan menyiapkan penambahbaikan 52 tandas sedia ada, termasuk surau selain memasang penapis cahaya untuk mengurangkan haba,” katanya.
Mohamed Rastam berkata, beberapa pengukuhan kemudahan lapangan terbang juga sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan fungsinya termasuk kerja menaik taraf landasan pesawat dan ‘taxiway’, menambah baik sistem penyejukan udara, jaringan WiFi, jejambat penumpang, kemudahan daftar masuk serta meningkatkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan pagar lapangan terbang.
Katanya, MAHB juga mempunyai pelan pembangunan masa depan KKIA bagi tempoh tiga tahun (2024-2026) menerusi dua fasa yang antara lain mencadangkan peningkatan kapasiti KKIA daripada 10 juta penumpang setahun (MPPA) kepada 12 MPPA pada 2026 hingga 2027.
Skop pembangunan menerusi pelan itu, katanya merangkumi kerja pembaikan dan pembesaran bangunan utama terminal serta kemudahan infrastruktur termasuk membesarkan ruang tempat letak pesawat.
Sementara itu, Christina berkata langkah diambil MAHB sudah lama ditunggu dan amat dihargai dalam usaha mengatasi pelbagai isu yang dihadapi lapangan terbang berkenaan ketika ini.
“Langkah ini berita baik kepada rakyat Sabah yang memang layak mendapat sebuah lapangan terbang antarabangsa yang dinaik taraf sejajar kedudukannya sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini,” katanya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost