Nenek, Cucu Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran Di Ranau

Beberapa anggota bomba cuba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Matan, Ranau yang meragut nyawa seorang nenek dan cucunya, malam tadi.

RANAU : Nenek berusia 60 tahun dan cucu perempuannya ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Matan, Ranau, malam tadi.

Mayat kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Jafflan Sigal, 60, dan cucunya, Carla berusia empat tahun ditemui di dalam bilik oleh pasukan bomba sebaik api berjaya dipadamkan.

Difahamkan, ketika kejadian, mereka turut bersama seorang lagi ahli keluarganya yang berjaya keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.53 malam.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal dan hasil pemeriksaan menemui dua mangsa rentung di dalam bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Ridwan berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi terkawal pada jam 11.45 malam dan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran sedang dijalankan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *