Polis Kinabatangan Lepaskan 12 Das Tembakan Supaya Buaya Lepaskan Mangsa

Foto Ihsan Bomba Kinabatangan

KINABATANGAN : Polis Kinabatangan terpaksa melepaskan 12 das tembakan supaya seekor buaya melepaskan seorang mangsa yang dibaham haiwan berkenaan di Ladang Limddale, Kampung Paris 2 dekat sini hari ini.

Bagaimanapun hanya kaki kiri mangsa ditemukan, menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah malam ini.

“Mangsa telah dijumpai oleh pasukan penyelamat pada 5.45 petang tadi di dalam mulut buaya. Pihak polis melepaskan 12 das tembakan sehingga buaya berkenaan melepaskan mangsa.

“Hanya kaki kiri mangsa sahaja dijumpai. Tindakan pengecaman mangsa dilakukan oleh ahli keluarganya,” menurut kenyataan itu.

Mangsa seorang lelaki Indonesia dikenali sebagai Roberto Martinus, 48, yang dilaporkan hilang lebih kurang 6.40 pagi semalam, dikhuatiri dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti memancing di sebatang sungai di ladang berkenaan.

Tiga anggota polis, tiga staf Jabatan Hidupan Liar dan 35 orang awam menyertai operasi mencari mangsa. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *