2 Maut Nahas Ketika Cuba Elak Ditahan JPJ Di Sipitang

Sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pokok tumbang. Pemandu memecut kenderaan itu pada 14 Februari ketika menyedari diekori Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Sipitang, Sabah, sehingga menyebabkan dua maut, manakala tiga lagi cedera.

SIPITANG : Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas sebuah kereta yang melanggar pokok tumbang di Jalan Jeti SFI, Sipitang, Sabah.

Ia dipercayai berlaku selepas pemandu memecut sebaik sahaja menyedari kenderaan mereka diekori pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian sekitar 5 petang 14 Februari itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu, Allahyarham Mohd Khairul Abdullah, 19 tahun, dan penumpang Allahyarhamha Norsiah Bibi Faizal, 14 tahun.

Kededua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Tiga lagi penumpang berusia lapan, 16 dan 17 tahun turut cedera.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Timbalan Superintenden Mail Sundongi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada anggota JPJ Sipitang memaklumkan ada kes kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki lima individu.

Menurutnya, dalam kemalangan itu, pemandu dan penumpang di tempat duduk belakang meninggal dunia, manakala dua lagi parah dan seorang cedera ringan.

“Hasil siasatan awal menunjukkan kereta dinaiki mangsa dari sebuah pasar raya dan menghala pulang ke Kampung Sibubu, Jalan SFI.

“Ketika kereta dinaiki kelima-lima individu terbabit dalam perjalanan pulang, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang menjalankan tugas rondaan mengekori kereta mereka dan memasang (isyarat) beacon light.

“Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ, dia terus memecut laju dan sebaik tiba di jalan selekoh menuruni bukit, kereta itu hilang kawalan hingga menyebabkan (ia) terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok tumbang di bahu jalan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Encik Mail berkata pasukan bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit, manakala mangsa yang cedera dibawa ambulans ke Hospital Sipitang untuk rawatan lanjut.

“Kebiasannya JPJ memasang beacon light supaya kenderaan berkenaan berhenti. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan mangsa yang terselamat mendakwa kereta yang mereka naiki ‘dikejar’ kenderaan JPJ.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *