KENINGAU : Jyfreena Ryzza Yanik, seorang pelajar tahun akhir Kolej Vokasional Keningau, telah berjaya memenangi pingat emas di pertandingan International Creative Innovation Idea Competition 2024 anjuran persatuan akademik MNNF Network untuk projek pendidikan yang diketuainya iaitu “Virtual, Remote, Live” ataupun lebih dikenali sebagai VRL yakni akronim kepada nama penuh projek tersebut.
Keputusan pertandingan itu yang diumumkan melalui hantaran email dan di laman sesawang penganjur pada 31 Januari 2024 menyaksikan penyertaan sebanyak 488 dari beberapa negara selain Malaysia iaitu Indonesia, Filipina, Qatar, Thailand dan Yemen.
Projek VRL ini merupakan satu program pengantarabangsaan yang terdiri daripada beberapa aktiviti dalam talian yang dilaksanakan bersama dengan guru-guru dan para pelajar dari negara-negara lain.
Ianya terdiri daripada beberapa aktiviti iaitu kelas induk (masterclass), kelas program pertukaran budaya, meja bulat (roundtable), pembentangan persidangan dan sesi sembang. Ramai guru-guru terkemuka di peringkat global yang telah menjadi jurulatih bagi kelas induk yang dilaksanakan hampir setiap bulan.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama beberapa badan ilmiah termasuklah SEAMEO TED yang berpusat di Kemboja dan IKSAD yang berpangkal di Turkiye. Ianya telah menerima pengiktirafan dari SEAMEO VOCTECH iaitu satu badan pendidikan vokasional Asia Tenggara yang telah menerbitkan amalan ini sebagai salah satu amalan terbaik di rantau ini.
Jyfreena Ryzza berasa sangat gembira dengan pencapaian itu kerana ianya adalah satu pengiktirafan bagi usahanya melaksanakan projek tersebut walapun semasa cuti umum dan cuti sekolah.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar ini atas dedikasinya memastikan program pengantarabangsaan sentiasa dilaksanakan secara konsisten.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost
Video rakaman penyertaan pelajar ini untuk pertandingan ini boleh diakses melalui pautan YouTube