KUALA LUMPUR : Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Manila, Filipina diculik dan dibunuh sekumpulan lelaki pada 22 Okt lalu walaupun wang tebusan sebanyak RM330,000 dibayar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wang itu dibayar melalui aplikasi dompet kripto USDT, tetapi pihak berkuasa Filipina menerima laporan penemuan mayat mangsa di San Simon, Pampanga pada 23 Okt lalu.
“Dalam laporan itu menyatakan deskripsi fizikal dan tatu pada mayat sama dengan deskripsi fizikal serta tatu mangsa penculikan,” katanya menurut Bernama dalam sidang media khas JSJK hari ini.
Susulan itu, JSJK menerima permohonan Pejabat Atase Polis Malawakil Manila pada 9 Nov lalu untuk membantu menganalisis aliran transaksi ke dompet kripto milik seorang suspek dan berjaya mengesan aliran transaksi mata wang kripto itu dipindahkan ke sebuah premis tukaran mata wang tidak didaftarkan di Malaysia.
“Hasil maklumat daripada ‘exchange’ itu mendedahkan identiti enam suspek warga asing yang dipercayai dapat membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan berkenaan. Semua maklumat itu diserahkan kepada Pejabat Atase Polis Malawakil Manila untuk siasatan lanjut.”
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, 10 laporan polis diterima berkaitan pelaburan tukaran mata wang asing (Forex) membabitkan kerugian RM4.7 juta sejak 1 Nov lalu dan siasatan awal mendapati laman sesawang mengendalikan pelaburan itu dipercayai beroperasi di luar negara.
“Mangsa kes ini dijanjikan pulangan modal dan keuntungan bulanan 5% daripada nilai pelaburan. Mangsa mendakwa yakin dengan pelan pelaburan tersebut setelah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi Zoom.”
Katanya, pembayaran wang pelaburan dengan nilai RM437,253 hingga RM864,30 dibuat menerusi aplikasi Huobi dan berdasarkan analisis mata wang kripto, JSJK mengesan satu sindiket antarabangsa melakukan transaksi mencurigakan lebih RM1 bilion serta sedang mengambil tindakan susulan.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost