Alesyah Asa Pemenang Ikon Belia Sabah

KENINGAU : Alesyah Asa yang merupakan seorang alumni program Teknologi Pembinaan di Kolej Vokasional Keningau, telah dinamakan sebagai pemenang tempat pertama Ikon Belia Sabah dalam kategori wanita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, pada 2 Disember 2023.

Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor dan ianya dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Sabah. Alesyah Asa, yang berbangsa Murut dan berasal dari Nabawan, adalah juga penerima Anugerah Ikon TVET Sabah dan Anugerah Emas Menteri Pendidikan pada tahun ini.

Alesyah yang secara rasmi menamatkan pengajian di Kolej Vokasional Keningau pada Mac 2023 telah mencipta sejarah tahun lalu apabila menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya menjadi salah seorang daripada sepuluh finalis teratas Global Student Prize iaitu anugerah pelajar yang paling berprestij di dunia yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD 100,000.00 kepada seorang pemenang setiap tahun.

Semasa bergelar pelajar di Kolej Vokasional Keningau, Alesyah telah mengetuai program sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) di mana beliau melatih pelajar sekolah dan guru dalam pengendalian teknologi terkini seperti dron dan pencetak tiga dimensi.

Beliau juga berjaya mewakili kolejnya dalam beberapa pertandingan inovasi dan persidangan penyelidikan di mana beliau membentangkan projek tahun terakhirnya yang merupakan alat yang direka untuk membantu pekerja pembinaan memasang jubin di lantai dengan lebih cekap.


Pada tahun 2020, beliau berjaya memimpin pasukannya untuk memenangi dua anugerah global, iaitu hackathon literasi media berpusat di Korea Selatan dan geran dari The Awesome Foundation yang berpangkal di Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan penerima pingat kebesaran Bintang Kinabalu (B.K), dari Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin pada tahun 2022.

Alesyah Asa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membimbing dan menyokongnya dalam perjalanan pendidikan dan kerjayanya.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada Alesyah atas pencapaian terbarunya ini kerana ianya mampu memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar kolej itu untuk menggilap bakat mereka dengan lebih gigih.

Beliau berharap agar Alesyah yang telah pun menjadi contoh teladan bagi generasi muda negeri itu agar meneruskan usaha murninya membantu komuniti setempat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *