
KOTA KINABALU: Bayaran interim berjumlah RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tuntutan hak pendapatan bersih 40 peratus Sabah masih jauh berbanding jumlah sebenar yang sepatutnya diterima negeri ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, berdasarkan sumbangan pendapatan sebenar Sabah, hak 40 peratus berkenaan dianggarkan tidak kurang RM5 bilion bagi 2026 sahaja.
Menurutnya, rakyat Sabah memahami perbezaan antara bayaran interim dan penyelesaian penuh terhadap hak perlembagaan yang tertunggak sejak lebih lima dekad lalu.
Katanya, jumlah bayaran yang diterima Sabah setakat ini menunjukkan masih wujud jurang besar berbanding hak sebenar negeri ini.
“Sabah menerima RM26.7 juta sepanjang tempoh 1974 hingga 2021, diikuti RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta masing-masing pada 2023 dan 2024 serta RM600 juta pada 2025,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan tindakan Peguam Negara Persekutuan yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berkaitan hak 40 peratus Sabah.
Jeffrey berkata, sebelum ini Perdana Menteri dan Kabinet dilaporkan tidak merayu keputusan berkenaan.
Sehubungan itu jelasnya, rayuan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan hak Perlembagaan Negeri Sabah.
“Jika Perdana Menteri tidak mengarahkan rayuan itu, beliau perlu menyatakannya secara terbuka dan mengarahkan Peguam Negara menarik balik rayuan berkenaan.
“Jika rayuan itu mendapat kebenaran beliau, maka pengumuman RM1.5 bilion itu hanya tinggal janji,” katanya.
Beliau turut mendakwa kedudukan Sabah sebagai negeri yang masih berdepan pelbagai kekangan pembangunan berpunca daripada kekurangan dana yang berlarutan sejak sekian lama walaupun negeri itu menyumbang hasil besar menerusi sektor minyak, gas, balak dan sumber asli lain.
Justeru pihaknya menggesa kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mewujudkan mekanisme pengesahan hasil yang diperoleh dari Sabah secara bebas, mengira semula jumlah sebenar hak 40 peratus negeri ini serta melaksanakan bayaran penuh bermula dengan sekurang-kurangnya RM5 bilion bagi 2026.
Selain itu katanya, STAR juga mahu penyelesaian menyeluruh terhadap tunggakan hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021 dimuktamadkan tanpa kelewatan.
“RM26.7 juta yang dibayar sepanjang 48 tahun tanpa semakan mandatori yang diperuntukkan Perlembagaan sudah cukup menggambarkan keadaan sebenar,” katanya.
Anwar sebelum ini mengumumkan bayaran interim RM1.5 bilion itu semasa majlis pembukaan Pesta Kaamatan di Penampang, Sabtu lalu, sebagai langkah sementara ke arah menyelesaikan tuntutan hak 40 peratus di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah