
KUDAT: Seorang kontraktor warga asing berusia 56 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di pagar sebuah sekolah di Batu 1, di sini, pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya terkena kabel elektrik sebelum dia terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.31 pagi sebelum sembilan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi empat minit kemudian dan mendapati mangsa berada di pintu gerbang sekolah.
“Pasukan bomba menghubungi Sabah Electricity untuk mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat sebelum kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.
“Pihak Sabah Electricity tiba pada jam 9.12 pagi dan memutuskan bekalan elektrik sebelum mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat tiga minit kemudian,” katanya.
Beliau berkata, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.