Wanita Dipercayai Mengandung Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Lintas

Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa kemalangan di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Seorang wanita dipercayai mengandung maut  selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lintas berdekatan City Mall di sini tengah malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, kenderaan yang dinaiki mangsa bersama dua lagi individu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian itu.

Katanya, dua lagi mangsa terbabit termasuk pemandu lelaki dan penumpang wanita dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Menurutnya, Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.03 tengah malam.

“Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Seorang mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, pemandu lelaki pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 1.14 pagi selepas pihaknya memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *