KOTA KINABALU, 25 Jun : Sebagai negeri yang memiliki jumlah keluarga miskin tegar ketiga tertinggi di negara ini iaitu sebanyak 40,938 keluarga berdasarkan data eKasih setakat 15 Februari 2022, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) amat bermakna kepada rakyat Sabah.
Peruntukan STR sebanyak RM272.1 juta untuk seramai 797,000 penerima di Sabah itu bukan sahaja dianggap sebagai “talian hayat” dalam menjalani kehidupan harian yang mencabar dengan peningkatan kos sara hidup, tetapi juga pembuka ruang kepada penerima mengubah taraf kehidupan.
Ibu tunggal Normala Aziz, 38, berkata selain untuk keperluan persekolahan anak-anak, dia turut mengembangkan manfaat bayaran STR itu dengan menggunakan sebahagian wang diterima sebagai modal pusingan untuk menjana pendapatan menerusi jualan kuih-muih dan nasi lemak secara kecil-kecilan.
“Ini penting supaya saya dapat menjana pendapatan dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan memandangkan bayaran STR tidak diberikan setiap bulan. Saya berharap inisiatif STR ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Pendekatan sama turut diambil oleh seorang peniaga pisang goreng Suriana Masair, 38, yang memanfaatkan bayaran STR sebagai modal jualan bagi membeli tepung, minyak dan pisang kerana melihat ia boleh memberi pulangan berpanjangan.
“Ia lebih proaktif menambah pendapatan dan hasil jualan pisang goreng kelak boleh digunakan bagi menampung keperluan harian selain membayar sewa tempat berniaga,” katanya yang menyarankan penerima memanfaatkan bantuan itu untuk hal berfaedah termasuk berniaga, selain dijadikan pemula melangkah keluar daripada kepompong kemiskinan.
Inisiatif STR turut memberi impak kepada suri rumah dikenali sebagai Khadijah, 36, yang menggunakan sebahagian bantuan kewangan itu membeli benih sayur-sayuran berserta baja untuk bercucuk tanam sayuran seperti sawi, petola, bendi dan cili padi yang mampu membantu ketika harga bahan mentah kini semakin meningkat.
Bagi peserta Mini Estet Sejahtera (Mesej) Lanung di daerah Tongod, sebuah daerah pedalaman di Sabah Neklos Ansuni, 39, bantuan kewangan daripada kerajaan amat dialu-alukan terutama ketika menghadapi masalah luar jangka seperti cuaca yang tidak mengizinkan untuk menoreh getah.
“Saya ini penoreh getah di pedalaman. Hasil saya ditentukan atas faktor cuaca, tambahan pula harga getah di pasaran agak rendah. Sesuailah kalau pihak kerajaan memikirkan serta mengambil langkah sepatutnya bagi membela nasib kami yang bergantung penuh pada hasil pertanian,” katanya yang mengakui program Mesej telah banyak mengubah kehidupannya.
Ketua Masyarakat Cina Elopura di Sandakan Kapitan James Leong pula berkata sememangnya bantuan diberikan kerajaan itu amat dirasai rakyat, namun pendekatan harus dicari bagi memastikan bantuan itu mampu memberi kesan berpanjangan kepada penerima.
“Kita tanya rakyat apa mereka mahukan daripada kerajaan, rata-rata mereka kata mahu duit. Sebab itulah kita tidak boleh suka-suka beri bantuan. Mereka perlu dibimbing menggunakan bantuan kerajaan sebagai satu nilai tambah kepada ekonomi mereka agar tidak lagi perlu risau jika stok beras mereka kehabisan esok,” katanya.
Sementara itu, jika penerima STR menggunakan sebahagian sumbangan itu untuk mengubah status taraf hidup, Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berpendapat pendekatan lain yang boleh diambil untuk membasmi kemiskinan tegar di daerah itu adalah dengan menjadikan kira-kira 700 ketua isi rumah di daerah berkenaan sebagai peneroka Felda.
“Kita akan memajukan cadangan ini kepada EPU (Unit Perancang Ekonomi), jadi ini bergantung kepada EPU serta Felda sendiri. Kita lihat tanah Felda (di daerah ini) luas dan peneroka tidak sampai 2,000 orang jadi ada ruang lagi kita boleh bantu mereka yang miskin tegar ini melalui Felda,” katanya.
Bayaran STR Fasa 3 membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion itu akan memanfaatkan lebih lapan juta penerima golongan B40 yang akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing, yang akan disalurkan mulai esok. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost