Lelaki Mengamuk Tetak Dua Polis Guna Pisau Pemotong Daging Di Manggatal

Pasukan polis dalam proses memujuk suspek yang mengurung ibunya di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal.

KOTA KINABALU : Ketua Polis Kota Kinabalu, Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menerima aduan orang awam berhubung seorang lelaki disyaki kurang siuman mengamuk di rumahnya.

Katanya, suspek bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging mengurung ibu dan kakaknya dalam rumah, selain turut mengasari kakaknya.

“Bertindak atas aduan itu, saya dan ketua Bahagian Siasatan Jenayah bersama sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah serta anggota Balai Polis Manggatal ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, suspek dipujuk menyerah diri, namun dia enggan dan hanya bersetuju membebaskan kakaknya sebelum mengunci diri bersama ibunya dalam bilik tidur,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, polis memecahkan pintu bilik tidur itu selepas dua jam gagal memujuk suspek membebaskan ibunya dan menyerah diri.

“Polis menyerbu masuk dan menyelamatkan ibu suspek. Suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan pasukan serbuan. Suspek menetak dan mencederakan seorang pegawai kanan dan anggota polis berpangkat sarjan.”

Katanya, bekas pesakit Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu yang berusia 42 tahun itu cedera ringan di muka, manakala ibunya tidak mengalami kecederaan.

Katanya, dua anggota polis terbabit dirawat di Hospital Queen Elizabeth dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dua anggota polis cedera ditetak lelaki disyaki kurang siuman yang mengamuk di sebuah rumah di Taman Jaya Diri, Manggatal, Sabah semalam.

Pegawai polis berpangkat inspektor dan sarjan yang bertugas di IPD Kota Kinabalu itu cedera di kepala, lengan serta bahu kanan dalam kejadian 2.30 petang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *