BELURAN: Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Telupid/Tongod, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua mangsa berumur 40 dan 44 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta sedan bertembung dengan pacuan empat roda.
Katanya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kedua-dua kenderaan terbabit masing-masing dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta sedan terbabit cuba memotong kenderaan lain di hadapannya, namun gagal dan bertembung dengan pacuan empat roda di laluan bertentangan.
“Akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang kereta sedan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu pacuan empat roda berusia 62 tahun mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Kasim berkata, mangsa yang parah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost