Pelajar Sabah Finalis Global Student Prize 2023 Bernilai RM454K

KENINGAU : Nazieha Jasnie, pelajar jurusan bakeri & pastri Kolej Vokasional Keningau, Sabah, telah terpilih sebagai salah satu calon 50 terbaik bagi anugerah Global Student Prize tahun 2023 anjuran Varkey Foundation yang berpusat di United Kingdom.

Juara pertandingan akan menerima wang berjumlah US$ 100,000.00 yang bersamaan dengan ringgit Malaysia 454,000.00.

Ianya merupakan anugerah pelajar paling berprestij di dunia dan Nazieha Jasnie merupakan satu-satunya pelajar dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri untuk anugerah ini pada tahun ini.

Terdapat lebih dari 3,851 pencalonan dari 122 buah negara dan hanya 50 yang terbaik disenarai pendek untuk anugerah ini. Kenyataan akhbar pencapaian pelajar ini boleh diakses di laman sesawang penganjur: https://globalteacherprize.org/news/global-student-prize-finalists/2023-finalists-global-student-prize/1013/1013-Nurul-Nazieha-Jasnie

Nazieha Jasnie telah menggunakan kemahiran yang telah dia pelajari dari bidang bakeri untuk melaksanakan projek komuniti yang disasarkan kepada golongan ibu terutamanya mereka yang berasal dari berpendapatan rendah.

Dia mengajar para wanita ini cara-cara menyediakan kuih dan kek daripada bahan-bahan yang mudah didapati dan ini membolehkan mereka menjana pendapatan.

Dia juga telah berjaya memulakan perniagaan biskut miliknya yang dinamakan “Tia Cookie” dan dia telah berjaya menggunakan keuntungan perniagaan ini untuk menanggung perjalanannya ke Bali, Indonesia, pada tahun 2022 untuk menyertai pertandingan inovasi secara bersemuka.

Dia juga aktif melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti pengumpulan dana untuk membantu pelajar-pelajar lain menyertai pertandingan kemahiran di Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan penjualan roti dan makanan panas.

Selain daripada itu, dia telah banyak menyertai persidangan penyelidikan, pertandingan penciptaan kandungan serta pertandingan inovasi secara jarak jauh dan dalam talian.

Sepanjang penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti, dia telah membimbing ramai rakan-rakan sekelasnya untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang sama.


Nazieha Jasni berasa sangat gembira kerana berjaya tersenarai sebagai finalis anugerah paling berprestij buat pelajar tersebut.

Dia menganggap pengiktirafan itu sebagai bukti bahawa pendidikan vokasional sangat relevan pada zaman ini.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, meluahkan rasa sebak dan bangga dengan pencapaian itu kerana dia yakin ini mampu membantu meningkatkan kebolehpasaran para graduan kolej vokasional di negara ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *