Buat Tuntutan Palsu RM61,000, SPRM Sabah Tahan 5 Penjawat Awam

Semua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut, dan beberapa tangkapan lain juga mungkin akan dibuat, menurut pengarah SPRM Sabah. – Foto Hiasan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan lima penjawat awam negeri kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu perpindahan melibatkan beberapa daerah di Sabah berjumlah kira-kira RM61,000.

Menurut sumber, lima individu itu termasuk seorang wanita berusia antara 30 tahun hingga 50 tahun ditahan antara 10 pagi hingga 12.30 tengahari ketika hadir di pejabat SPRM Sabah hari ini.

“Kesemua suspek dipercayai mengemukakan penyata resit syarikat pengangkutan bagi tujuan pembayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan sedangkan perkhidmatan tersebut tidak pernah dilakukan,” menurut sumber.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Karunanithy berkata, kesemua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu esok. Tambahnya, beberapa tangkapan lain juga mungkin akan dibuat.

“Susulan daripada siasatan kes ini, pihak SPRM Sabah telah memberikan khidmat nasihat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan mencadangkan beberapa penambahbaikan pekeliling perkhidmatan sistem dan prosedur berhubung tuntutan perpindahan di jabatan itu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *